Tajuk : Hijrah Champion Gaya Rasulullah
Penulis : Wak Sutera
Penerbit : Must Read Sdn. Bhd.
ISBN : 9789670392936
Halaman : 208 muka surat
Berat : 300 gram
Sinopsis:
Kosa kata ‘hijrah’ mengandungi hikmah yang besar, bahkan amat besar. Rahsianya besar sehingga kita sukar untuk menggali dan mengupas keseluruhannya kemudian mengaplikasi dalam hidup sehari-hari. Walaupun demikian, kita diberi akal. Justeru sama-sama kita gunakan sebaiknya.
Kosa kata ini mula digunakan secara meluas semenjak berlakunya hijrah Nabi Muhammad (SAW) dari Makkah ke Madinah. Hijrah berasal daripada kata kerja hajara yang bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Perkataan bahasa Arab ini secara fizikalnya bermaksud meninggalkan suatu tempat untuk menuju ke tempat lain. Hijrah Rasulullah (SAW) bersama Sahabat Abu Bakar as-Siddiq adalah suatu perintah agung Allah.
Makna hijrah seeloknya selalu hidup dalam diri kita. Peristiwa perjalanan Rasulullah (SAW) itu mesti dijadikan pengajaran dalam setiap usaha kita mentransformasikan setiap jejak, baik mengubah nasib atau menjadi lebih baik. Kita sebagai manusia, apatah lagi umat Islam, wajib melihat penghijrahan Nabi besar itu sebagai ibrah yang direnung dan diamalkan.
Perintah hijrah Rasulullah (SAW) dan para Sahabat sebelumnya ialah perintah Allah, bukan dibuat secara suka-suka. Dalam misi itu, Rasulullah (SAW) menerima banyak halangan. Andai Allah mahu, boleh sahaja Dia menerbangkan hamba-Nya itu ke Madinah atau memudahkannya. Namun tidak begitu. Allah mahu agar para Sahabat, Nabi Muhammad (SAW) dan Abu Bakar as-Siddiq berusaha gigih.
Rasulullah (SAW) berkata, “Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Mekah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah manyahutnya!” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud hijrah dalam hadis di atas ialah berpindah dari Makkah ke Madinah dan bebasnya Makkah dari orang-orang Musyrik yang tidak beriman. Justeru peristiwa itu sudah berlaku, maka umat Islam tidak lagi dituntut supaya meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah. Dua-dua bandar itu sudah menjadi Islam.
Intipati buku ini secara khusus mengajak kita supaya berubah. Tidak selamanya harus Champion berada di takuk lama yang tidak atau kurang baik. Kita sebagai Champion perlu berubah, mesti berhijrah. (less)