Shopping Cart
/ /

INTAI CALON PASANGAN DENGAN 2 TIP INI

Feb 14,2023 | Must Read

(Gambar sekadar hiasan)

 

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

Dinikahi seseorang wanita itu kerana 4 perkara.

Hadis ini juga boleh dijadikan rujukan kepada kaum lelaki yang ingin dipilih sebagai calon suami oleh para wanita. 4 perkara tersebut adalah:

  • Hartanya
  • Keturunannya
  • Rupa parasnya
  • Agamanya

Nabi berpesan, pilihlah agamanya kerana kamu akan berbahgia kerananya.

Mengapa demikian?

Kerana dengan memilih seseorang dengan menjadikan Islam sebagai teras pemilihan, maka inshaallah akan menyusul rezeki yang berkat, keturunan yang baik bersama-sama dengan segala kebaikan untuk kedua-dua pasangan.

Walaupun seseorang calon itu tidak atau belum memiliki 3 pilihan pertama di atas, maka pilihlah calon kerana agamanya kerana insan yang berpegang dan menjaga agamanya menjadi dasar yang paling kuat dalam pemilihan seseorang calon pasangan rumahtangga.

Kerana seorang yang menjaga agamanya akan bertanggungjawab untuk berusaha mencukupkan keperluan keluarganya.

Kerana seseorang yang menjaga agamanya akan dijaga Allah dan dikurniakan nasab keturunan yang baik.

Daripada keturunan yang baik, inshaallah akan lahirlah keluarga sakinah, keluarga yang bahagia sejajar dengan tuntutan Islam.

BAGAIMANA PULA MEMILIH CALON YANG TERBAIK ANTARA TERBAIK?

Setelah kita mengetahui ciri-ciri pasangan, maka datanglah pula calon-calon yang bersesuaian. Dan tidak mustahil kita direzekikan dengan kehadiran lebih dari seorang calon dan semuanya baik belaka. Maka kita berada di persimpangan dilema siapakah calon yang patut dipilih.

Maka di sini suka saya kongsikan petua 2 ‘I’ yang boleh dipraktikkan:

Istikharah

Ikhtiar kita meminta panduan dari Allah dengan melaksanakan solat sunat istikharah dengan 2 rakaat. Ketika sujud akhir sebelum salam, mohonlah kepada Allah petunjuk dan panduan agar pilihan yang kita buat itu adalah pilihan yang tepat untuk diri kita.

Petunjuk bukan datang dalam bentuk mimpi, petunjuk-petunjuk itu juga boleh datang dalam bentuk ‘tanda’ tertentu. Misalnya, urusan sangat mudah. Tak ada banyak masalah. Hati sentiasa tenang. Tak ada rasa ragu atau gusar. Nampak jalan dengan calon A ni macam mudah saja.

Inshaallah, itulah pilihan yang dipandu Allah.

Intai

Intai di sini bukanlah mengintai sorok-sorok sebalik tingkap ya. Tetapi intai di sini bermaksud kita selidik, siasat dan merisik melalui saudara-mara,  kawan-kawan atau orang-orang baik yang mengenali calon. Kita tanya bagaimanakah akhlaknya, bagaimana keturunannya, apa pekerjaannya  dan sebagainya.

Petikan daripada: Ensiklopedia Keluarga Bahagia oleh Ustazah Asma Harun

Comment

Name
Email
Comment