KUASA BESAR DUNIA SEBELUM KEBANGKITAN RASULULLAH SAW
Oct 31,2023 | MR
Beberapa abad sebelum kedatangan Islam, dunia dikuasai oleh dua kuasa besar iaitu Parsi dan Romawi. Di samping dua kuasa besar ini terdapat kerajaan Greek dan India yang turut menguasai beberapa wilayah di dunia. Namun realitinya, semua kuasa besar pada waktu itu berada di ambang keruntuhan. Dunia bagaikan terlalu merindui ‘penyelamat’ yang mampu mengeluarkan manusia daripada petaka kezaliman dan penindasan.
Kerajaan Parsi menjadi medan pertembungan antara agama dan falsafah yang beraneka corak.
Para pemerintah dan pembesar berpegang kepada agama Majusi yang kian dipandang jelik oleh masyarakat kerana ajarannya menggalakkan perkahwinan sesama ahli keluarga; anak lelaki boleh mengahwini ibu kandung, kakak, mahupun adik perempuan sendiri. Malah dalam aliran Mazdak, agama membenarkan wanita dikongsi tanpa batasan dan dijadikan hak milik bersama seperti air dan tumbuhan.
Kerajaan Romawi pula bergelut dengan semangat penjajahan dan persengketaan. Ini ditambah pula dengan konflik pemodenan agama dengan Kristian Syam dan Mesir. Pemerintah hidup mewah dengan mengenakan cukai yang tinggi terhadap rakyat, ditambah pula dengan beban krisis ekonomi yang gawat. Ia merupakan sebuah kerajaan ketenteraan yang sentiasa berusaha meluaskan penjajahan, di samping cuba memodenkan agama Kristian agar selari dengan tuntutan kemahuan nafsu mereka.
Di sudut dunia yang lain, kerajaan Greek Tua pula tampil semakin hodoh dengan khurafat dan dongengan yang sarat, bahkan hampir tenggelam akibat kian dipinggirkan dan ditolak oleh rakyat. Manakala kerajaan India pula
sejak permulaan abad keenam Masihi, telah terperosok ke lembah kemerosotan pengamalan agama, akhlak dan jiwa dalam kalangan rakyatnya tanpa sebarang usaha yang mampu memulihkannya.
***
Dipetik daripada buku Nabi Muhammad SAW Rasul Terakhir (Edisi Jimat) tulisan Dr Rohaily Al-Jawhary. Dapatkan dengan harga RM40.50 (diskaun 10%) melalui pesanan pra-tempah (klik buku).