DUA JENIS TAKDIR
Oct 19,2023 | MR
Kita perlu memahami dua jenis takdir yang sentiasa berlaku kepada manusia. Daripada pelbagai ketetapan Allah SWT yang kita alami hari-hari, semuanya dapat digolongkan dalam dua kategori besar iaitu nikmat dan dugaan.
Kita selalu berjalan di antara dua keadaan ini, sekiranya kita tidak mengalami nikmat atau kesenangan, tentu kita sedang mendapat dugaan atau sesuatu yang tidak kita suka.
Ini lebih kurang seperti yang disebutkan dalam peribahasa Inggeris, 'pain or gain', sama ada kamu menderita atau kamu beroleh sesuatu.
Cuba kita kumpul dan ingat kembali perkara-perkara yang pernah kita alami, tentu kita akan menemukan bahawa semua itu dapat dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua kategori di atas. Pada satu ketika kita beroleh nikmat, anugerah, kesenangan atau sesuatu yang bernilai positif.
Sementara pada waktu yang lain, kita mengalami kesukaran, dugaan, beban, kerugian atau sesuatu yang bernilai negatif.
Kita selalu berada di antara kedua-dua keadaan itu, besar atau kecil, sedikit atau banyak. Yang menjadi inti pati persoalannya, bukannya berusaha untuk memilih salah satu keadaan dan kemudian mengeluh sekiranya ditimpa oleh keadaan yang lain. Kedua-dua keadaan tersebut dapat memberikan nilai baik dan buruk, bergantung bagaimana kita melihatnya dan menanganinya dengan tepat. Nikmat yang kita dapat tidak selalu memberikan kebaikan kepada kita, malah mampu memberi kesan yang buruk. Malah dugaan juga dapat memberikan kesan yang baik kepada kita.
Apa manfaat dengan adanya ketetapan Allah SWT?
Adakah kita menganggap Allah SWT menimpakan sesuatu kepada kita dan memerintahkan kita untuk beriman kepada takdir-Nya tanpa sesuatu manfaat di sebalik semua itu?
Adakah Allah SWT menyuruh kita meletakkan kepercayaan kepada takdir sebagai salah satu daripada rukun iman yang enam tanpa faedah yang dapat dirasakan oleh orang-orang beriman? Adakah semua ini hanya mainan dan tidak mempunyai faedah sehingga ia harus dihapus dan diabaikan oleh kaum Muslimin?
Rasulullah SAW tidak bersikap sambil lewa ketika Baginda menyatakan bahawa beriman kepada takdir adalah sebahagian daripada rukun iman. Kalau begitu, apa manfaat daripada sema ini? Apa manfaat yang boleh kita dapat daripada mempercayai setiap ketetapan Allah SWI, yang baik dan yang buruk? Ternyata, Allah SWT telah menjelaskan persoalan ini dalam kitab-Nya yang mulia. Dalam surah al-Hadid ayat 22, Allah SWT menjelaskan bahawa segala sesuatu yang menimpa diri kita itu sudah ditetapkan-Nya dalam sebuah kitab.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (Surah al-Hadid 57: ayat 22)