Shopping Cart
/ /

FAKTA MENARIK TENTANG SEJARAH ASAL PERMULAAN TAHUN HIJRAH YANG PERLU KITA KETAHUI

Jul 21,2023 | MR

 

Tahun hijrah telah dimulakan penggunaannya selepas tujuh tahun kewafatan Rasulullah SAW iaitu pada tahun ke-17 Hijrah semasa pemerintahan Saiyidina Umar bin al-Khatab RA. Sebelum itu mereka menggunakan hari dan bulan sahaja tanpa tahun.

Abu Nuaim al-Asbahani ada meriwayatkan dua kisah tentang sejarah penggunaan tahun pada zaman Sayidina Umar RA. Terdapat dua riwayat berkenaan perkara ini.

Dalam satu riwayat, ia ada menyebut tentang satu dokumen kewangan bertulis padanya bulan Syaaban sahaja disebut tanpa disebut tahun. 

Lalu timbul pertanyaan dalam diri Saiyidina Umar RA, 'Ini Syaaban bila? Adakah yang baru ataupun yang sebelumnya?'

Satu lagi riwayat menyebut bahawa ada dalam kalangan gabenor wilayah Islam pada zaman Saiyidina Umar RA telah mengadu kepada beliau iaitu setiap kali surat sampai kepada mereka, ia tidak mempunyai tahun. Mereka tidak pasti bilakah surat itu dihantar.

Lantaran itu, Saiyidina Umar RA menjemput para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tahun perlu dibuat berdasarkan peristiwa besar yang berlaku. 

Beberapa cadangan telah diberikan untuk penentuan tahun itu, antaranya adalah;

- berasaskan tarikh kelahiran Nabi SAW, atau

- berasaskan tahun kenabian Rasulullah SAW, atau

- berasaskan tahun penghijrahan Rasulullah SAW, atau

- berasaskan tarikh kewafatan Rasulullah SAW.

Namun Saiyidina Umar RA bersetuju dengan tahun penghijrahan Rasulullah SAW sebagai asas bermulanya penggunaan tahun hijrah dengan hujah hijrah itu membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

Dengan itu, diisytiharkan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun hijrah bagi umat Islam. Tahun perbincangan itu telah berlaku pada 17 tahun selepas berlakunya hijrah Rasulullah SAW, ini bererti ia merupakan tahun 17 Hijrah.

Seterusnya timbul pula persoalan tentang bulan manakah yang akan memulakan tahun hijrah. Dalam hal ini, beberapa pandangan telah dilontarkan dalam kalangan sahabat. Antaranya adalah bulan Ramadan, Syawal dan Muharam.

Saiyidina Umar RA pula memilih bulan Muharam dengan hujah bahawa bulan Muharam adalah bulan orang ramai bersurai. Dengan maksud lain, orang ramai mula bersurai atau selesai daripada mengerjakan ibadah haji.

Ini kerana, ibadah haji dilakukan pada bulan Zulhijah. Ia adalah perhimpunan besar-besaran umat Islam seluruh dunia. Mereka kembali dengan keperibadian baru selepas mendapat pengampunan dosa hasil daripada ibadah haji.

Jesteru, ia sangat sesuai dijadikan sebagai bulan pertama kalendar Islam.

*********

Petikan daripada buku Ibadah Sehari Hilang Dosa Setahun tulisan Prof. Dr. Engku Ahmad Zaki

 

 

 

Comment

Name
Email
Comment