Shopping Cart
/ /

KES HARTA PUSAKA TIDAK SELESAI - ADIK BERADIK TIDAK SEPAKAT

Jul 15,2023 | MR

Pengalaman di Kuala Lumpur ini berlaku kepada lima orang adik-beradik. Empat orang daripada mereka boleh berpakat dengan baik, tetapi seorang daripada mereka iaitu abang yang sulung, tidak mudah diajak berbincang, tidak mahu bersetuju dengan keputusan yang sepatutnya ataupun keputusan yang dipersetujui bersama. 

Suatu hari, saya mendapat panggilan telefon yang meminta saya hadir ke majlis pertemuan adik-beradik untuk membincangkan pusaka ayah. Ayah baru meninggal sebulan lepas. Sebahagian harta dibahagikan semasa hidup. Berkenaan dengan peninggalan duit arwah ayah, mereka bersetuju untuk membahagikannya mengikut faraid. Rumah pusaka pula diamanahkan kepada seorang adik perempuan yang kebetulan belum mempunyai rumah sendiri.

Hampir tiga jam kami berbincang dan bersoal jawab, si abang yang sulung tetap berkeras dengan pendiriannya.

Antaranya:

Anak-anaknya ada meminjam wang daripada si arwah dan mereka berjanji akan menyedekahkan wang tersebut. Saya katakan, wang tersebut adalah pusaka! Maka, perlu diserahkan kepada ahli waris dan terpulang kepada waris sama ada mahu mengambilnya ataupun menyedekahkannya ataupun menyerahkan semula kepada anak saudara.

Semasa hidup, arwah ayah ada berwasiat, tanah yang ada di Ampang diberikan kepadanya apabila ayah meninggal dunia. Saya jelaskan, sekiranya wasiat tidak sah, tidak boleh dilaksanakan kecuali waris-waris yang lain bersetuju. Ini kerana waris akan mendapat bahagian faraid. Dia tetap berkeras kerana katanya, “Itu adalah hibah, kerana ayah ada niat untuk memberi semasa hidup!” Saya jelaskan lagi, “Sekiranya hibah perlu dilihat semula lafaznya dan mestilah ada saksi, sekurang-kurangnya dua orang yang cukup syarat.”

Si abang sulung itu mengatakan ketika wasiat itu dibuat, adik-beradiknya yang lain turut ada di situ, tetapi dinafikan oleh adik-beradiknya yang lain. Dalam keadaan marah, si abang sulung bersuara, “Kamu sepakat mahu lawan aku, ya! Mentang-mentang tanah itu bernilai RM2.5 juta, baru kamu semua buka mata. Dulu semua tidak mahu ambil tahu. Aku tidak kira! Macam mana pun, aku mahukan tanah itu. Paling tidak, aku punya bahagian separuh. Kalau tidak, kita putus saudara! Kamu semua mahu boikot aku, termasuklah ustaz yang kamu panggil ni!”

Dia pun terus bangun, keluar dari rumah, terus masuk kereta dan pergi. Adik-beradik yang lain menggeleng kepala, kesal dengan sikap si abang yang betul-betul berubah selepas ayah meninggal dunia. Selang beberapa bulan, saya ada menanyakan perkembangan daripada seorang ahli keluarga tersebut secara telefon dan SMS, tetapi saya tidak memperolehi apa-apa jawapan berkenaan hal tersebut. Sehingga kadang-kadang saya pun terfikir, “Aku ini duduk sebelah yang betul ataupun yang tidak betul? Aku datang mahu selesaikan masalah ataupun tambah lagi masalah?”

Pada hari tersebut, sebelum pulang, saya ada memberitahu mereka, “Bincangkan lagi dengan cara yang terbaik. Banyakkan berdoa, moga abang dibukakan hati untuk terima yang benar. Sekiranya ingin dipanjangkan kepada pihak berkenaan seperti Pejabat Pusaka Kecil ataupun Amanah Raya Berhad, insya-Allah saya akan usahakannya!”

Sehingga sudah, mereka tidak menghubungi saya. Sekali sekala ingin juga saya menghubungi mereka, tetapi hati ini berkata, “Nanti orang kata engkau ini lebih sudu daripada kuah!”

Apa pun saya berharap agar kes tersebut menemui jalan penyelesaian yang terbaik, kerana mereka berusaha untuk berkumpul, berbincang adik-beradik. Mudah-mudahan dengan kesungguhan tersebut, Allah SWT memberkati usaha mereka.

- USTAZ GHAZALI IBRAHIM-

***

Antara kisah benar perkongsian daripada buku Kaedah Pembahagian Harta Pusaka Dan Kepentingan Wasiat tulisan Ustaz Ghazali Ibrahim.

[KLIK SINI UNTUK PEMBELIAN]

 

Comment

Name
Email
Comment