Shopping Cart
/ /

LAHIRNYA INSAN GENIUS YANG PADA USIA 15 TAHUN SUDAH BOLEH MENGELUARKAN FATWA DI MEKAH

Aug 16,2023 | MR

 

Imam kita, Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafi'i bin Saib atau lebih dikenali sebagai as-Syafi'i dilahirkan di Gaza , Palestin pada tahun 767M (150H) ketika ibu dan ayahnya mempunyai urusan di sana. 

Salasilah beliau daripada sebelah ayah dan ibu mempunyai perhubungan darah terus dengan Nabi Muhammad SAW. Ayahnya, Idris bertemu nasab dengan Rasulullah SAW pada moyangnya Abdul Manaf. Manakala ibunya, Fatimah binti Abdullah pula merupakan cicit Ali bin Abi Talib.

Beliau merupakan anak yatim yang hidup di bawah jagaan ibunya. Ayahnya meninggal ketika ibunya mengandungkan beliau.

Imam Syafi'i di zaman kanak-kanak merupakan seorang kanak-kanak yang genius. Pada usia sembilan tahun, beliau telah menghafal 30 juzuk al-Quran dengan lancarnya. 

Walaupun beliau daripada keturunan yang mulia, namun beliau bukanlah daripada keluarga yang kaya. Ibunya tidak berkemampuan untuk membelikan kelengkapan belajar yang lengkap seperti kertas, dakwat dan sebagainya. Namun beliau cekal mahu belajar.

Maka dicarilah tulang-tulang bahu untuk membuat catatan ilmu. Beliau kerap ke pejabat kerajaan bagi mencari kertas-kertas terbuang yang dapat digunakan semula. Beliau beranggapan dengan bersusah-susahlah beliau dapat menumbuhkan kebahagiaan mencari ilmu. 

Akhirnya bilik beliau penuh dengan nota-nota ulang dan catatan-catatan kertas sehingga bilik tidurnya menjadi sempit. Beliau cuba menghafal notanya sekerat demi sekerat sehingga habis semuanya dihafal.

Dengan cara hafalan dan tidak lagi bergantung kepada nota, barulah biliknya kosong daripada timbunan kertas dan tulang bahu catatan.

Sejak usia kecil lagi beliau ingin mempelajari ilmu sastera dan ilmu bahasa. Beliau menuju ke dusun bangsa Bani Huzail untuk mempelajaru bahasa Arab yang asli dan fasih. Beliau mempelajari sastera Arab, syairnya dan adat istiadat bangsa Arab asli.

Di Mekah, beliau mempelajari ilmu fiqh dengan Imam Muslim bin Khalid az-Zanji, mufti Mekah ketika itu. Beliau juga menuntut ilmu hadis dengan Imam Sufyan bin Uyaynah dan ilmu al-Quran dengan Imam Ismail bin Qasthantun.

Pada usia 10 tahun, Imam Syafi'i sudah memahami isi kitab al-Muwatta' yang disusun Imam Malik bin Anas. 

Pada usia 15 tahun, beliau sudah boleh mengeluarkan fatwa di Mekah.

****Dipetik daripada buku Imam-Imam Yang Melawan tulisan Syed Azharul Asriq.

Comment

Name
Email
Comment