Cart
/ /

MERENDAH DIRI

Aug 09,2023 | MR

 

Malam itu saya dan anak-anak menonton perlawanan akhir badminton Sukan Asia 2014 antara Dato' Lee Chong Wei dan Lin Dan.  Riuh mulut anak bujang memberi komen, baik komen positif mahupun negatif. Perlawanan yang berlangsung tiga set tersebut cukup mendebarkan dan menghiburkan. Walaupun Dato' Lee Chong Wei tewas tetapi kalahnya, kalah yang bermaruah dan melawan.

"Apalah macam tu pun tak dapat ambik," sederas smash Ariff merejam komen.

"Kalau lawan dengan Adik tentu Lin Dan kalah," lagak Ariff semakin menjadi-jadi.

Cakap-cakap besar beserta gaya nakalnya menimbulkan jengkel di hati kakaknya. Saya hanya tersenyum melihat gelagat gurauan Ariff bersama kakaknya itu.

"Adik, kalau dengan kawan-kawan masih berlagak macam ni, alamat Adik akan ditinggalkan kawanlah," saya mencelah demi mematikan lagak si Ariff.

"Adik main-main aje. Takkan Adik nak berlagak bila dengan kawan-kawan," Ariff membela dirinya.

"Abah cuma ingatkan Adik dengan Angah aje. Kita tak boleh berlagak dan mengaku diri kita yang terbaik bila berhadapan dengan sesiapa pun."

"Kita kena merendah diri tapi jangan sampai dipijak."

"Kita boleh menunjukkan kepandaian dan kehebatan tetapi dengan berhemah, jangan jadi seperti tong kosong. Bising menyakitkan telinga tapi tak ada isi," saya menyambung.

Diharapkan anak-anak tidak mudah mengalah dalam menghadapi hidup yang penuh ranjau dan duri. Hidup ini penuh ujian dan cabaran. Perlukan jiwa yang besar dan kuat dalam menghadapi ujian tetapi ujian yang terbesar ada dalam diri. 

Ramai yang gagal mengawal diri kerana merasakan diri cukup hebat. Sombong, angkuh dan besar diri menjadi beban yang akan menenggelamkan kita dalam hidup bermasyarakat.

Merendah diri tidak akan menjadikan kita insan yang hina tetapi sikap saling menghormati kelebihan dan kekurangan sesama manusia mampu mengangkat nilai diri.  

Kelebihan yang dimiliki dikongsi bersama mereka yang memerlukan. Jika mempunyai rezeki yang lebih kita tidak sayang untuk memberikannya kepada mereka yang kurang bernasib baik kerana kita yakin segala yang dipunyai adalah milik Allah SWT.

***Dipetik daripada buku Cermin Diri tulisan Ali Hassan 

 

Comment

Name
Email
Comment